Tuesday, October 04, 2005

kehidupan dan persahabatan

Tak semua di antara kita mempunyai keberanian untuk mengungkapkan isi hati. Dan pasti kita tercari-cari wadah yang terbaik untuk berbicara tentang segala rasa hati. Segala rasa marah, geram, suka, duka, gembira, kecewa, derita, bahagia dan tentu saja cinta. Kita berusaha mencuba apa saja cara yang dipercayai mampu melegakan segala rasa sakit selain turut berupaya mengungkapkan segala rasa bahagia di hati. Semalam seorang sahabat telah menefon aku. Hampir dua bulan kami tidak berhubung kerana sibuk dgn tugas masing-masing. Dari suaranya aku tahu dia berhadapan dengan masalah. Aku biarkan dia meluahkan segala kekusutan di hati. Katanya hidupnya tiada arah. Hidupnya di seliputi dengan pelbagai dugaan. Bagi seorang lelaki sepatutnya dia lebih tabah dan kuat dalam melalui ranjau kehidupan. Tapi setiap orang perlukan bahu untuk bersandar ketika berduka tidak kira lelaki mahupun perempuan. Aku juga maklum tentang hal itu. Lalu aku biarkan dia terus bercerita tentang kisahnya. Lama juga kami berbual. Kami bertukar pendapat dan mungkin ada serdikit nasihat daripada aku yang boleh dipraktikkan. Akhirnya dia lega. Kembali ceria seperti biasa.

Selepas meletakkan telefon, aku membuka almari dan mengeluarkan sebuah album gambar . Album itu sudah cukup untuk mengungkap kisah saya dari kecil sehinggalah genap usia saya 24 tahun. Aku tersenyum apabila membuka album itu. Tertera wajah rakan-rakan baik yang sangat saya sayangi. Malia & Angie adalah dua manusia yang penting selepas keluarga saya. Wujudnya mereka di muka bumi ini sememangnya menciptakan satu keindahan yang tidak terungkap. Seawal umur 13 tahun kami mula berkawan, mula mengenal erti persahabatan yang sebenar. Baik dan buruk kami lalui bersama. Belajar di kelas yang sama, duduk bersebelahan, masuk ke kolej yang sama, bahkan kami juga pernah tinggal bersama. Cuma bezanya Angie sekarang sudah pindah ke Johor Bahru semula lalu tinggal aku dan Malia yang masih setia di ibu kota cinta ini. Tetapi tidak pernah sekalipun kami lupa tentang diri masing-masing. Bagaikan ada satu tarikan magnetic yang mengikat kami untuk terus bersama. Selama ini pun cuma kami bertiga yang memahami perasaan masing-masing.

Dan ketika aku khayal mendengar alunan lagu dewa (hidup ini indah) aku terbaca coretan blog Angie yang betul-betul membuatkan hati aku tersentuh. Ayatnya sungguh puitis. Betapa agungnyanya nilai sebuah persahabatan.

Kita berusaha mencuba apa saja cara yang dipercayai mampu melegakan segala rasa sakit selain turut berupaya mengungkapkan segala rasa bahagia di hati. Apapun cara kita untuk meluahkan isi hati, seharusnya ia diungkapkan dengan penuh rasa hormat dan jujur pada diri sendiri. Sekalipun cuma berhasil mendapat kepuasan satu pihak iaitu diri kita sendiri , tetapi itu lebih baik dari tidak beroleh apa-apa. Dan dalam usaha itu berdirinya seorang sahabat. Yang pastinya tidak akan sama dengan insan lain yang kamu temui. Sikapnya mungkin juga tidak seperti pasangan kamu. Sahabat dan kekasih adalah dua insan yang berbeza kerana kamu boleh menjadi seorang yang sangat perahsia bila di samping kekasih tetapi tidak bila bersama seorang yang digelar sahabat. Hargailah sahabat kamu ketika dia masih ada. Ketika dia masih berdiri untuk menyokong kamu dan ketika dia masih menunjukkan rasa kasih dan sayang pada kamu. Jangan biarkan ia berlalu begitu sahaja. Apabila hilangnya seorang sahabat, keseronokkan kamu akan lenyap serta-merta dan kenangan yang lalu tidak mungkin kembali. Percayalah, kasih seorang sahabat sudah cukup memenuhi segenap ruangan hidupmu. Kerana dia lebih mengerti apa yang bermain di minda mu walaupun tidak diluahkan. Dia memang sahabat sejati.

Hidup adalah satu perjuangan, dan kita semua adalah pejuang kepada cita-cita dan harapan kehidupan. Untuk Malia & Angie terima kasih untuk semuanya. Terima kasih kerana sentiasa ada bersama aku. Terima kasih kerana mengalas bahu untuk aku menangis, terima kasih kerana sudi menadah telinga mendengar segala masalah yang ada kalanya berpunca dari diriku sendiri, terima kasih atas sokongan dan nasihat yang kalian berikan. Terima kasih untuk semuanya. Aku sayang kamu…

0 Comments:

Post a Comment

<< Home